Wednesday 2 December 2015

Latar Belakang


Program melahirkan Saintis Islam Anjung Ilmu Terengganu ini dilaksanakan bertepatan dengan pencapaian Negeri Terengganu dalam melahirkan generasi yang berilmu yang hafiz dan hafizah yang mana sudah diterapkan sejak tadika lagi. Pelajar-pelajar yang hafaz Al-Quran ini perlu diberi galakan dan bimbingan yang berterusan supaya kemahiran mereka tidak disia-siakan.
Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini dilaksanakan adalah selaras dengan penumpuan Terengganu dalam bidang Pengajaran Al-Quran yang mana telah berjaya melahirkan ramai hafiz Al-Quran. Program ini turut menumpukan pendidikan dalam bidang sains supaya lebih ramai Saintis Islam dapat dilahirkan. Program ini diwujudkan bagi menggunapakai ilmu Al-Quran, kemahiran, kepakaran, dan kemudahan yang ada secara optimum dalam membentuk pelajar-pelajar di Negeri Terengganu yang terpilih menjadi Saintis Islam yang berjaya. Pelajar-pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka dalam aliran sains, di samping tidak meninggalkan Al-Quran dan Sunnah.
Program ini juga dapat mengawal pembaziran kos dalam pembiayaan biasiswa pengajian pelajar oleh kerana penerapan nilai-nilai tanggungjawab selepas pelajar menamatkan pengajian dengan biasiswa; iaitu pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dapat menggalas tanggungjawab sebagai pakar sains atau saintis yang berkeupayaan mengajar masyarakat dan seterusnya menjadi sumber rujukan masyarakat dalam bidang kepakaran mereka. Secara tidak langsung mereka bakal menjadi Saintis Islam yang berkaliber dan seterusnya dapat membentuk generasi yang  seimbang dari segi akademik dan Al-Quran.