Saintis Islam Anjung Ilmu

PENGENALAN

         Program Saintis Islam Anjung Ilmu merupakan satu program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (aliran sains) dengan program aliran agama termasuk tahfiz Al-Quran. Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini akan melahirkan saintis moden dalam bidang Aero Angkasa yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai generasi Islam Anjung Ilmu.
         Program ini adalah hasil cetusan idea Menteri Besar Terengganu iaitu Mantan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Air Negeri Terengganu merangkap ADUN Seberang Takir iaitu YB Dato’ Hj. Ahmad Razif Bin Abd Rahman dalam usaha memberi inovasi dan menerajui sistem pendidikan negara. Sehubungan dengan itu, pelajar cemerlang lepasan dari sekolah menengah di Negeri Terengganu akan dipilih bagi melaksanakan program tersebut.
         Pelajar-pelajar cemerlang ini akan ditemuduga dan dipilih bagi melaksanakan program tersebut. Pelajar-pelajar yang terpilih untuk program ini akan diberi biasiswa dan dibiayai oleh Yayasan Terengganu bagi melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PHD). Pelajar-pelajar bertuah ini akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Aero Angkasa di universiti tersohor sama ada universiti di Amerika Syarikat atau lain-lain universiti yang dikenalpasti serta diikat kontrak bekerja dengan PSKT. Setelah selesai pembelajaran, pelajar-pelajar akan ditempatkan di PSKT untuk membuat kajian berkenaan Aero Angkasa & Sains berdasarkan kandungan Al-Quran. Peringkat pertama pelajar-pelajar adalah dipilih untuk melanjutkan pelajaran di bidang Aero Angkasa, manakala program ini akan dilanjutkan untuk pelajar menerokai bidang-bidang kritikal yang lain juga.

TUJUAN

         Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk melahirkan generasi Saintis Islam Anjung Ilmu Negeri Terengganu yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Bagi merealisasikan Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini, pelajar-pelajar akan dibimbing oleh 4 komponen utama iaitu Yayasan Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Pusat Sains Negara, dan universiti-universiti. Selain penguasaan dalam bidang sains, aspek EQ iaitu (Emotional Intelligence Quotient) juga diutamakan dengan pemilihan pelajar yang mempunyai kemahiran berfikir analitikal, komunikasi yang berkesan, sifat kepimpinan, kreatif, beretika dan berdisiplin, serta mempunyai motivasi diri yang tinggi sebagai keutamaan.

LATAR BELAKANG

         Program melahirkan Saintis Islam Anjung Ilmu Terengganu ini dilaksanakan bertepatan dengan pencapaian Negeri Terengganu dalam melahirkan generasi yang berilmu yang hafiz dan hafizah yang mana sudah diterapkan sejak tadika lagi. Pelajar-pelajar yang hafaz Al-Quran ini perlu diberi galakan dan bimbingan yang berterusan supaya kemahiran mereka tidak disia-siakan.
         Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini dilaksanakan adalah selaras dengan penumpuan Terengganu dalam bidang Pengajaran Al-Quran yang mana telah berjaya melahirkan ramai hafiz Al-Quran. Program ini turut menumpukan pendidikan dalam bidang sains supaya lebih ramai Saintis Islam dapat dilahirkan. Program ini diwujudkan bagi menggunapakai ilmu Al-Quran, kemahiran, kepakaran, dan kemudahan yang ada secara optimum dalam membentuk pelajar-pelajar dari Negeri Terengganu yang terpilih menjadi Saintis Islam yang berjaya. Pelajar-pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka dalam bidang Aero Angkasa, di samping tidak meninggalkan Al-Quran dan Sunnah.
         Program ini juga dapat mengawal pembaziran kos dalam pembiayaan biasiswa pengajian pelajar oleh kerana penerapan nilai-nilai tanggungjawab selepas pelajar menamatkan pengajian dengan biasiswa; iaitu pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dapat menggalas tanggungjawab sebagai pakar sains atau saintis yang berkeupayaan mengajar masyarakat dan seterusnya menjadi sumber rujukan masyarakat dalam bidang kepakaran mereka. Secara tidak langsung mereka bakal menjadi Saintis Islam yang berkaliber dan seterusnya dapat membentuk generasi yang seimbang dari segi akademik dan Al-Quran.



HARAPAN

         Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari merupakan tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu dan keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi dan sebagainya amat menyerlah dalam sejarah kerana keterampilan mereka memajukan idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.
         Apabila kita meneliti senario generasi muda kini ramai yang mempunyai Ijazah, Diploma, Sijil-sijil kemahiran dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan kreativiti. Bagi yang telah mendapat pekerjaan, ada di antaranya masih terbelenggu dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan daya kreativiti, inovasi dan mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.
         Fenomena kegersangan asas keilmuan, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini. Banyak tenaga, wang dan keringat dihabiskan tetapi tiada kesan serta impak disebabkan ketiadaan penyelidikan, kajian serta meneliti masalah yang sebenar. Tanpa pengukuhan ilmu yang utuh umat Islam akan lemah dan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan.
         Justeru, langkah-langkah proaktif perlu digerakkan bagi memperkasakan budaya keilmuan dan tradisi keintelektualan. Dalam melahirkan organisasi masyarakat berilmu sebagai membantu mencapai matlamat kerajaan dalam sasarannya menjadi sebuah negara maju, Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini direka untuk memudah cara bagi mendorong masyarakat terutamanya para pelajar mengenal pasti halatuju yang jelas agar mereka memiliki cita-cita yang lebih tinggi dan bukan hanya bercita-cita tanpa haluan dan tujuan.
         Dengan itu langkah terbaik untuk merealisasikan matlamat tersebut, sasaran yang perlu diutamakan adalah kepada pelajar-pelajar yang akan melangkah ke alam bekerjaya yang seharusnya dibantu dari segenap arah, agar pelajar tersebut tidak tersasar dan menuju ke arah yang sebaliknya. Program Saintis Islam Anjung Ilmu bukan hanya memberi peluang pelajar untuk melanjutkan pelajarannya hingga ke peringkat yang tertinggi malahan akan menjadi ikutan yang terbaik kepada generasi pelajar seterusnya. Menerusi program ini, pelajar juga boleh meneruskan pembelajaran mereka sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan seterusnya bekerjaya dengan gilang gemilang.